
Ako Mustapha & Kartina Abdullah
Alasannya mahu menyembuhkan emosi dan trauma akibat percintaan terputus di tengah jalan. Namun, sebaik bertemu Kartina Abdullah, 29, ia mengubah pendiriannya sekali gus hatinya kembali terbuka untuk menerima cinta.
“Waktu bertemu dia, saya memang berazam dan tidak mahu berganjak daripada pendirian sebelum ini kerana enggan dikecewakan buat sekian kali. Namun, dalam diam saya tidak mampu menafikan saya sudah jatuh hati kepadanya.
“Berperang dengan keputusan yang bakal dibuat, akhirnya saya ketepikan ego seorang lelaki kerana bimbang andai selepas tamat tempoh dua tahun, saya tidak lagi berpeluang memiliki hatinya.
“Masa itu mungkin dia sudah ada yang lain dan saya akan berasa rugi sedangkan dari awal saya sedar dia gadis istimewa dan memiliki hati yang tulus,” katanya.
Cepat serasi dan saling memahami juga, mendorong Ako membuat keputusan menyunting Kartina yang dikenali sekitar Januari 2007 sebagai permaisuri hatinya.

Ako Mustapha & Kartina Abdullah
Adat resam orang Melayu tidak dilupakan. Selepas genap setahun berkawan dengan pelakon berwajah keanak-anakan itu dia menghantar rombongan meminang dan mereka bertunang pada 1 Januari lalu sebagai tanda pengikat sebelum melangkah ke jenjang pelamin.
Kini, saat bahagia yang dinantikan dalam hidup mereka semakin hampir apabila pasangan ini akan diijabkabulkan sebagai suami isteri tanggal 17 Januari ini. Majlis pernikahan akan diadakan di Masjid Batu 4, Sandakan, Sabah, sekitar jam 10 pagi.

Ako Mustapha & Kartina Abdullah
Pasangan sama cantik sama padan ini, mengkhabarkan berita gembira itu ketika mengunjungi Balai Berita untuk mengedarkan kad perkahwinan mereka, Selasa lalu.
Ako yang kini menjadi kegilaan kanak-kanak menerusi siri drama Kapten Boleh yang disiarkan menerusi Astro Ceria, memaklumkan hatinya terpaut pada senyuman, kejujuran, kematangan dan kecantikan gadis campuran Bajau Dusun dan Filipina itu.
“Kali pertama jumpa saya sudah tertarik. Senyumannya buat saya tertawan dan suka apabila dia bercakap kerana dia akan ekspresikan sekali perasaannya.
“Di situ sudah nampak kejujurannya. Tidak hanya sifat luaran, semakin mengenalinya saya tahu dia wanita yang tepat untuk disunting sebagai isteri.
“Sebelum kami menjalin hubungan serius saya pernah membawanya berjumpa orang tua saya dan jelas dia tidak kekok melayani mereka walaupun kali pertama berjumpa.
“Hinggakan semua mak cik saya sukakannya walhal kekasih saya sebelum ini tidak pula mereka menyambut sebegitu rupa. Tidak dinafikan dia pandai membawa diri dan saya lega semua orang menerima baik kehadirannya,” katanya
Kartina kelihatan tersipu malu dengan pujian buah hatinya itu, mengakui kejujuran Ako menambat hatinya lantas menerima lamaran jejaka itu tanpa banyak soal.
Malah, sebagai tanda keikhlasan cintanya Kartina tidak meletakkan sebarang wang hantaran sebaliknya hanya meminta mas kahwin RM999.99 serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
“Tidak perlu wang hantaran kerana saya tahu berapa pendapatannya jadi buat apa hendak minta. Memang Ako mahu sediakan wang hantaran, tetapi saya kata tidak perlu.
“Selain ikhlas mengahwininya apa yang lebih penting bagi saya perkahwinan ini mendapat restu keluarga dan keberkatan daripada Yang Maha Esa sekali gus berjalan lancar,” katanya.
Berhubung persiapan perkahwinan, semuanya hampir selesai dan mereka mengakui mudah menguruskan majlis itu apatah lagi semuanya dilakukan sendiri.
Paling rasai tekanan tentulah Kartina, kerana keluarganya tidak mempunyai pengalaman menguruskan perkahwinan yang penuh adat istiadat.
“Majlis perkahwinan mak cik saya sebelum ini cukup ringkas. Selepas akad nikah, ada jamuan makan dan kemudian selesai tetapi majlis kami, ada majlis merenjis dan persembahan tradisional,” katanya.
Kartina berkata, sebaik selesai majlis pernikahan dia dan Ako akan menukar persalinan pengantin dari suku kaum Bajau diikuti gaun untuk upacara persandingan dan memotong kek di kediaman orang tuanya.
Jelas, wanita bermata cantik itu, majlis berkenaan bagi meraikan kaum keluarga yang tidak dapat diundang ke majlis resepsi yang diadakan di Hotel Sanbay, Sandakan, Sabah, keesokan harinya (18 Januari).
Majlis bertemakan ala taman itu diuruskan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo, hanya membabitkan keluarga terdekat dan orang tertentu saja. Manakala persandingan sebelah pihak lelaki diadakan pada Mei.
Beralih soal anak, Ako berkata, pada usia 37 tahun dia mahukan anak secepat mungkin dan kalau boleh biar bunting pelamin.
Manakala destinasi bulan madu pula, pasangan ini tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana pada 21 Januari Ako kembali lokasi untuk menyudahkan penggambaran Kapten Boleh yang sepatutnya selesai Disember lalu.
Sebelum ini, pernah timbul kontroversi kononnya Ako merampas tunangan orang, bagaimanapun, Kartina kini bertindak sebagai pembantu peribadi dan pengurus Ako, menafikan pernah bertunang.
“Ketika berkenalan dengan Ako, saya sebenarnya sudah lama putus cinta tetapi masih bertegur dengan bekas teman lelaki. Dulu, tidak ada isu dibangkitkan sehinggalah dia mengetahui saya kini bersama Ako, macam-macam cerita pula keluar,” katanya.
Berkenaan pelantikan Kartina sebagai pembantu peribadi dan pengurusnya, Ako berkata, itu satu cara mereka dapat meluangkan lebih masa bersama.
“Saya mahu dia selami dunia saya. Jika tidak nanti, apabila masa dia perlukan perhatian, saya pula tidak dapat fokus kerana terlalu penat. Cara begini juga boleh mengelakkan fitnah.
“Setakat ini saya sangat berpuas hati kerana Kartina bijak mengaturkan masa saya. Saya ke set hanya untuk berlakon selebihnya dia akan uruskan. Jadi, sekarang ini saya rasa hidup lebih terurus,” katanya.


