Mulut orang … susah untuk disenyapkan. Mereka akan berkata apa sahaja. Jika ada pihak yang mempertikaikan kredibiliti Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23) kerana mempercayai kemasukan dua lagu Faizal Tahir – “Cuba” dan “Sampai Syurga” (ditambah lagi, ketua pegawai eksekutif 8TV Ahmad Izham Omar salah seorang dari pengkarya “Sampai Syurga”) dan lagu “Hanya Di Mercu”, nyanyian Ayu, pemenang musim kedua One In A Million, adalah kerana kedua-dua penyanyi ini dibawah naungan Monkey Bone Records, itu hak mereka.

Tetapi setelah 22 tahun AJL berlangsung, cakap-cakap orang bukan sesuatu yang baru. Namun harus diingatkan bukan mudah untuk bertahan lebih dua dekad lamanya jika pihak penganjur tidak telus dan adil.

“Kami memang amat peka dan sensitif terhadap perkara-perkara seperti ini. Jika dikatakan pihak AJL mengamalkan kronism, lagu Shila, “Memori Tercipta” tidak berjaya pula ke peringkat akhir AJL23 walaupun ia popular. Ini kerana bagi panel juri, lagu tersebut tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan. Dan para juri yang dipilih juga kami pastikan tidak wujudnya ‘conflict of interest’,” jelas ketua pegawai eksekutif TV3 Dato’ Amrin Awaluddin.

Ketiadaan Mawi
Tentang ketidakhadiran Mawi pada malam AJL23, Dato’ Amrin memberitahu apa yang berlaku di luar kawalan penyanyi tersebut. Disebabkan komitmennya kepada penaja perkahwinannya, Mawi terpaksa menarik diri dan telah meminta maaf atas ketiadaannya.

“Dia sebenarnya komited untuk beraksi pada malam AJL23. Dia juga diberitahu perkara ini pada saat yang terakhir,” dedah Dato’ Amrin yang juga mengesahkan pemilihan Zahid untuk menggantikan Mawi adalah keputusan syarikat rakaman mereka.

Ditanya adakah ketiadaan Mawi sedikit sebanyak menjejaskan populariti AJL23, Dato’ Amrin menjawab, “Konsep AJL adalah untuk memilih lagu terbaik, bukannya penyanyi. Sementara itu, penyanyi dan lagu lain yang bertanding tahun ini mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri.”

Iluminasi Muzik
Menurut Dato’ Amrin, edisi AJL kali ini menjanjikan sesuatu yang baru buat penonton, ditambah lagi tahun ini ulangtahun ke-25 TV3. Oleh itu, konsep ‘iluminasi’ dipilih sebagai tema AJL23.

“Diharapkan iluminasi cahaya dapat memberikan inspirasi muzik kepada pengkarya muzik dan pemuzik serta membawa AJL23 ke tahap yang lebih tinggi selepas kejayaan AJL22 tahun lepas yang mencatatkan rating tertinggi dalam sejarah AJL.

“Dari reka pentas ke ‘opening gambit’, bagi saya, ‘it’s the best so far’. Ia mewakili tema iluminasi dan memberi penonton sesuatu yang berbeza dan unik,” kata Dato’ Amrin yang dijumpa selepas acara cabutan giliran persembahan AJL23 petang tadi yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama.

Hasil daripada cabutan tersebut, berikut turutan lagu yang akan dipersembahkan pada malam AJL23.

1. Bukan Disini – Sofaz
2. Lagu Kita – Aizat
3. Dusta Berkalang – Aiman
4. Cuba – Faizal Tahir
5. Yang Pernah – Estranged
6. Bila Nak Saksi – Spider
7. Doa Dalam Lagu – Zahid & Heliza
8. Sampai Syurga – Faizal Tahir
9. Hanya Di Mercu – Ayu
10. Aku Stacy – Stacy
11. Dingin – Ziana Zain
12. Kalis Rindu – Elyana
13. Persoalan Cinta – Farawahida
14. Lagu Untukmu – Meet Uncle Hussain

Hadiah yang bakal dimenangi para pemenang:
Juara Lagu ke 23 – trofi dan wang tunai RM25,000
Juara Etnik Kreatif – trofi dan wang tunai RM12,000
Juara Balada – trofi dan wang tunai RM12,000
Juara Pop Rock – trofi dan wang tunai RM12,000
Persembahan Terbaik – trofi dan wang tunai RM10,000
Vokal Terbaik – trofi dan wang tunai RM10,000

Tahun ini, AJL akan dihoskan oleh Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Malam berprestij itu juga bakal memperlihatkan persembahan dari M Nasir, Jamal Abdillah dan Jaclyn Victor dalam persembahan ‘interlude’ sementara One Nation Emcees sebagai persembahan pembukaan.

AJL23 akan dibawa secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam pada 18 Januari. Acara ‘red carpet’ akan bermula pada pukul 7.30 malam dan anda dapat menyaksikannya melalui laman web www.tv3.com.my.

Sempena AJL23, HotFM akan mengadakan Nyanyian Hangat AJL pada jam 4.30 petang di Stadium Bukit Jalil. Dibuka kepada penyertaan orang ramai, mereka hanya perlu menyanyikan lagu-lagu yang berjaya ke AJL dan individu-individu yang bertuah akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,000, RM500 dan RM300. Disamping itu, HotFM memberi peluang kepada orang ramai memenangi 10 tiket VIP ke AJL23.

Tiket-tiket percuma untuk menyaksikan AJL23 di Stadium Putra Bukit Jalil boleh diperolehi dari balai pengawal Sri Pentas, Bandar Utama mulai 10 Januari. Sementara tiket-tiket VIP boleh didapati melalui program ‘Malaysia Hari Ini’ dan HotFM. Tiket adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat.

pixel Anugerah Juara Lagu,AJL23 Telus Dan Adil

share save 171 16 Anugerah Juara Lagu,AJL23 Telus Dan Adil