Seperti biasa, walaupun hanya acara raptai penuh, peminat muzik tempatan tetap membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi untuk menyaksikan acara kemuncak tahunan industri muzik tempatan, Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23).
Kesemuanya mempunyai pilihan di hati untuk meraih anugerah utama, anugerah Juara Lagu. Majoriti nampaknya ingin melihat Faizal Tahir muncul juara. Alasan mereka, kedua-dua lagu yang tercalon – “Cuba” dan Sampai Syurga” – mempunyai kekuatan lirik yang dalam dan bermakna.
Tapi bagi Amir dan 19 rakannya yang lain, tiada juara lain kecuali Ziana Zain. Penyokong ‘hardcore’ Ziana sejak lagu “Madah Berhelah”, ‘kepulangannya’ ke AJL kali ini memang dinanti-nantikan.
Kekecewaan yang dirasai ketika keputusan separuh akhir kategori balada diumumkan bertukar menjadi kegembiraan apabila seminggu kemudian lagu “Dingin” menjadi lagu ke-14 yang layak memasuki pertandingan akhir, AJL23.
“Memang patut masuk pun. Lirik dan melodi lagunya ‘strong’,” jelas Amir.
Mengenai khabar angin yang mengatakan kemasukkan “Dingin” atas desakan sesetengah pihak yang mahukan lagu tersebut dan Ziana bertanding, kata Amir, “Tak kisahlah as long as boleh masuk. Tapi juri pasti ada alasan mereka untuk memilihnya.”
Malam ini, Amir memberitahu, akan hadir bersama 200 lagi rakan fanclub Ziana Folks. Kesemuanya akan memakai baju warna serba putih dengan logo fanclub. Ditanya mengapa warna putih dipilih, jawabnya, “Menandakan kelahiran Ziana di AJL selepas enam tahun.”
AJL23 akan disiarkan secara langsung di TV3, jam 9 malam ini.


