
arsharvin
LONDON – Andrei Arshavin hanya menunggu masa untuk melengkapkan perpindahan ke Arsenal dengan nilai 12 juta pound (RM62.5 juta).
The Gunners telah lama memantau penyerang Rusia itu dan kini berharap dapat membawanya dengan harga separuh lebih murah daripada harga 20 juta pound (RM104.2 juta) yang diminta kelabnya, Zenit St. Petersberg.
“Mungkin seseorang akan menghubungi saya esok (hari ini) untuk memberitahu bahawa satu perjanjian akan dipersetujui
“Sebaik saja ia berlaku, saya akan terus pergi untuk mewakili pemain itu,” jelas ejen Arshavin, Dennis Lachter.
Zenit cuba untuk melepaskan Arshavin dengan harga 20 juta pound (RM104.2 juta) selepas dia beraksi cemerlang dalam kempen Euro 2008.
Penyerang itu juga sebelum ini dikaitkan dengan Tottenham dan Real Madrid, namun Arsenal masih menjadi kelab pilihan pertamanya.
Pengurus Zenit, Dick Advocaat mengakui dia agak keberatan untuk kehilangan pemain bintangnya itu.
“Saya sedar Arsenal berminat ke atasnya, tapi saya tidak tahu lebih daripada itu. Bagaimanapun, saya ramal Arshavin akan meninggalkan kelab ini.
“Dia seorang pemain yang hebat dan boleh bermain dengan mana-mana pasukan dan juga kelab handalan lain di England.
“Dia dipilih sebagai pemain terbaik tahunan oleh penulis sukan musim lepas dan mereka tahu semua mengenainya.
“Arshavin beraksi dengan baik buat kami musim lepas, tapi dia tidak bermain dengan tahap sebenar keupayaannya.
“Masih ada banyak lagi yang akan ditonjolkannya dan peminat akan dapat menyaksikan tidak lama lagi,” jelas Advocaat. – Agensi


