SOUTHAMPTON – Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mencabar pemainnya yang kemarau gol menggunakan kesempatan hujung minggu ini dalam saingan Piala FA pusingan ketiga di Southampton, sebagai satu peluang untuk mengembalikan semula sentuhan jaringan.
United tidak pernah menjaringkan lebih dari satu gol dalam Liga Perdana England sejak mengalahkan Stoke 5-3di Old Trafford November lalu.
Ferguson begitu cemas melihatkan statistik jaringan menjelang perlawanan di Stadium St. Mary hari ini sebelum bertemu Chelsea minggu depan.
”Setiap perlawanan adalah peluang untuk menjaringkan gol. Kami telah mengukir 25 peluang menjaringkan gol ketika bertemu Middlesbrough Isnin lalu dan hanya menjaringkan satu gol. Ia bukan seperti yang dijangkakan tetapi dengan pemain yang kami ada, anda akan lihat ada pasukan yang akan merasai kesakitannya.
”Masalah ketandusan jaringan akan selesai kerana kami mempunyai penjaring yang bagus,” kata Ferguson.
Tiada pasukan yang pernah muncul juara liga, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala Liga dalam musim yang sama.
Pengurus United itu cuba untuk meneruskan cabaran dalam Piala FA selepas disingkirkan jiran Southampton, Portsmouth musim lalu.
”Kami akan bersaing. Perlawanan Piala FA memerlukan sedikit tuah. Keputusannya amat mengejutkan dan apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami tidak dapat undian bermain di tempat sendiri seperti yang saya harapkan tetapi mereka mempunyai stadium yang baik dan saya jangkakan ia satu perlawanan yang menarik.
”Southampton merupakan sebuah pasukan yang konsisten sejak dari 30 tahun lalu.
”Mereka mempunyai rekod yang mengagumkan bagi sebuah pasukan wilayah yang mempunyai pemain yang mengagumkan. Mereka telah melalui zaman kegemilangan di bawah Lawrie McMenemy dengan pemain seperti Peter Shilton, Mike Channon dan Kevin Keegan. Dalam beberapa musim sebelum ini, Matthew Le Tissier merupakan penjaring terbanyak dalam liga.
”Sekarang mereka bergantung kepada pemain muda tetapi jurulatihnya telah melakukan tugas yang baik selepas mengetahui mereka kurang sumber kewangan,” katanya.
Persediaan United telah disemarakkan lagi dengan pengakuan Cristiano Ronaldo berhubung masa depannya bersama kelab tersebut dan perbelanjaan 16 juta pound (RM80.7 juta) mendapatkan gandingan pemain muda Serbia, Zoran Tosic dan Adem Ljajic dari Partizan Belgrade.
Ketika United bersedia untuk separuh perlawanan di tempat sendiri dan Eropah, Southampton berdepan dengan saingan untuk mengekalkan status mereka dalam Liga Kejuaraan.
Jurulatih mereka dari Belanda, Jan Poortvliet berkata, menentang pasukan Ferguson menyamai pencapaian bermain untuk negaranya pada perlawanan akhir Piala Dunia 1978 menentang Argentina.
”Ini merupakan cabaran besar sebagai jurulatih apabila anda menentang pasukan juara dunia dan anda boleh menyingkirkan mereka dari Piala FA. Anda akan mengingatinya sepanjang hayat. Kehangatan Piala FA bukan sahaja dirasakan di England tetapi di Belanda kerana ia disiarkan di televisyen,” katanya.
- AFP
