KUALA LUMPUR 4 Jan. – Syarikat perangkaian, Cisco akan melancarkan produk pertamanya yang dibangunkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada bulan ini.
Produk baru itu ialah pengawasan video, penyimpanan data dan komunikasi pejabat tanpa wayar, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Cisco berkata, bagi memenuhi keperluan perniagaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat itu akan memulakan kempen bagi menumpukan kepada perniagaan dan faedah penyelesaian lengkap produk dan teknologi.
Kempen bersepadu enam bulan itu yang dikenali sebagai One Voice diadakan setelah pengumuman pelaburan Cisco bernilai AS$100 (RM3.46 ) juta untuk inisiatifnya bagi perniagaan kecil dunia.
”Perniagaan kecil merupakan perkara utama dalam ekonomi hari ini dan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar adalah penting bagi pemilik perniagaan kecil mempunyai rakan teknologi yang boleh dipercayai bagi membantu mereka mencari dan menggunakan penyelesaian yang tepat untuk mengembangkan perniagaan mereka,” kata pengarah urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham.
Beliau berkata, Cisco juga telah mewujudkan kumpulan teknologi perniagaan kecil bagi membangunkan teknologi yang menumpukan kepada enam bidang bagi membolehkan pertumbuhan perniagaan, yang terdiri daripada penyambungan, keselamatan, akses terasing, produktiviti, interaksi pelanggan, dan sokongan pelanggan.
Mengenai tinjauan masa depan tempatan, Anne berkata, PKS menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2006 dan ini dijangka meningkat kepada 37 peratus menjelang 2010.
”Cisco berpendapat sektor PKS merupakan teras pertumbuhan penting kepada perniagaan Malaysianya,” kata beliau.
