
Ismail
TUMPAT – “Kami dilambung dan dihempas ombak hingga hampir lemas dan seperti tidak percaya boleh berenang sejauh dua kilometer untuk sampai ke darat.”
Demikian cerita Ismail Yaakob, 70, seorang daripada enam nelayan termasuk tiga beradik yang terpaksa berenang menyelamatkan diri selepas bot mereka karam dipukul ombak setinggi antara satu hingga dua meter di Pantai Sri Tujuh di sini semalam.
Kejadian itu berlaku pada pukul 11 pagi ketika bot tersebut dalam perjalanan pulang ke kuala Pantai Sri Tujuh selepas menangkap ikan.
Menurut Ismail, dia bernasib baik kerana sempat mencapai dan memakai jaket keselamatan sebelum terjun ke laut selepas bot mulai tenggelam setelah enjin bot mati akibat dimasuki air.
Katanya, dia dan rakan-rakan yang lain terus berenang dengan saling memberi semangat untuk sampai ke daratan.
“Saya bersyukur kerana terselamat walaupun sebenarnya saya hampir tidak terdaya lagi untuk berenang,” katanya di sini semalam sambil merenung jauh ke lautan.
Tiga beradik yang terselamat ialah Mahafizi Mahashim, 29, dan dua adiknya, Mahafizam, 26, Mohd Zaki, 20.
Dua lagi rakan mereka ialah Saudzri Ismail, 51, dan Hafiz Ismail, 20.
Ismail memberitahu, apa yang telah berlaku tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki di laut selepas ini.


