
WALAUPUN sibuk dengan jadual pertandingan, Tan Fook (kanan) tetap meluangkan masa untuk melayan Jiewen.
“DIA seperti bidadari di mata saya.”
Itu kenyataan ringkas daripada pakar beregu negara, Choong Tan Fook mengenai bakal isterinya, Zhang Jiewen yang merupakan salah seorang tonggak utama skuad badminton China.
“Saya tidak tahu bagaimana nak ceritakan apa yang menarik tentang Jiewen tapi dia sememangnya sempurna di mata saya.
“Dia mampu buat saya tersenyum dalam apa juga keadaan. Itu antara kelebihan Jiewen,” kata Tan Fook yang pada mulanya menolak pelawaan untuk ditemu bual.
Tan Fook berkata, Jiewen juga seorang yang gemar bercerita dan berhati lembut meskipun bakal isterinya itu kelihatan ‘garang’ ketika beraksi.
“Jiewen memang suka bercakap. Saya pula lebih gemar mendengar. Jadi kira ‘ngamlah’. Selain itu, Jiewen juga seorang yang berhati lembut walaupun dia kelihatan garang ketika berada dalam gelanggang,” ujar Tan Fook.
Memang tidak dapat dinafikan, keceriaan yang terpancar pada wajah pemain berusia 33 tahun itu jelas menunjukkan dia sememangnya sudah bersedia menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat dengan gadis pilihannya yang berasal dari Guangzhou itu.
Tan Fook yang berhasrat untuk bergelar suami pada penghujung tahun ini berkata, hubungan mereka mekar sejak lima tahun lepas.
Perkenalan bermula ketika mereka sama-sama beraksi pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2004 di Kuantan, Pahang.
“Kali pertama saya kenal dia adalah pada tahun 2002, itu secara profesional. Kami bertemu semula dua tahun berikutnya iaitu pada Terbuka Malaysia.
“Waktu itu kami sama-sama bergelar juara. Saya tidak tahu apa tapi pada waktu itu memang ada ‘sesuatu’ yang menarik perhatian saya mengenai Jiewen.
“Bermula pada saat itu, kami saling berhubung dan ia berterusan sehingga hari ini. Boleh dikatakan Jiewen cinta pandang pertama sayalah,” seloroh Tan Fook.
Pemain kelahiran Perak itu menambah, hubungan antara keluarga kedua-dua belah pihak juga baik setakat ini malah mereka lebih gembira sekiranya majlis perkahwinan dapat dilangsungkan dalam masa terdekat.
“Saya sudah bertemu keluarga dia (Jiewen), begitu juga sebaliknya. Tiada masalah mengenai hubungan kami dan keluarga kedua-dua nampak tiada halangan.
“Mereka sememangnya merestui percintaan saya dan Jiewen malah mereka lebih suka kalau saya kahwin dalam masa terdekat,” jelas Tan Fook.
Begitupun, Tan Fook berkata, dia tidak boleh mementingkan diri sendiri walaupun dirinya sudah bersedia memegang status sebagai seorang suami.
“Saya memang sudah bersedia tetapi karier kami sebagai pemain badminton juga perlu diutamakan. “Masih banyak yang mahu diburu oleh Jiewen. Dia ada tanggungjawab besar yang juga penting buat dirinya iaitu Kejohanan Seluruh England dan Kejohanan Dunia.
“Jadi, saya perlu faham dan saya juga sentiasa memberi sokongan kepadanya agar dia mencapai kejayaan.
“Apa pun, sekiranya tiada halangan, kami berharap untuk melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini,” katanya.
Tan Fook menjelaskan, dia dan pasangannya juga masih belum membuat sebarang perancangan mengenai kehidupan mereka selepas bergelar suami isteri.
“Kami masih belum membuat sebarang perancangan tentang di mana kami akan menetap, beraksi untuk skuad mana atau sebagainya selepas kami berkahwin nanti.
“Buat masa ini kami lebih selesa begini. Lagipun, China dan Malaysia bukannya jauh sekarang. Kita boleh pergi bila-bila masa,” seloroh Tan Fook.
Sementara itu, mengenai perkembangan kariernya, Tan Fook berkata, dia sedang menjalani latihan bagi menghadapi saingan Terbuka Korea yang akan membuka tirainya pada 13 hingga 18 Januari ini.
“Ketika ini saya sedang sibuk menjalani latihan bagi menghadapi aksi Terbuka Korea. Sekarang agak berlainan sedikit kerana saya tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya perlu susun jadual sendiri. Bagaimanapun, itu bukan penghalang buat saya meneruskan ke cemerlangan.”


