
lionel messi
MADRID – Lionel Messi meledakkan hatrik untuk membantu Barcelona menewaskan Atletico Madrid 3-1 pada perlawanan pertama pusingan kelima Piala Raja Sepanyol kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus mencerahkan peluang Barca untuk mara ke suku akhir bagi kempen musim ini.
“Ia sesuatu yang kamu tidak boleh terangkan. Ia amat diinginkan oleh setiap pemain,” kata Messi selepas menerima penghormatan daripada penonton di Stadium Vicente Calderon kelmarin.
Pada perlawanan yang turut disaksikan jurulatih Argentina, Diego Maradona itu, Messi membuka jaringan pertamanya pada minit ke-12 sebelum melengkapkan gol kedua pada minit ke-58.
Begitupun, Atletico kembali bangkit merapatkan jurang gol pada minit ke-69 sebelum Messi memastikan kemenangan bergaya Barca menerusi jaringan ketiganya pada minit ke-80.
Bagi jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, pasukannya yang kini mendahulu Liga Sepanyol dengan kelebihan 11 mata, telah menjejakkan satu kaki ke suku akhir menjelang pertemuan kedua minggu depan.
“Saya amat puas hati dengan usaha yang dipamerkan pemain malam ini (kelmarin),” katanya.
“Kami mengekalkan tahap kesungguhan yang mengagumkan dan Messi juga amat menakjubkan.” – AFP


