Terkini|KUALA LUMPUR, 7 Feb - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menutup Jalan Klang Lama dan Jalan Parlimen.
Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di 3 lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:
1.25 petang:Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.
1.15 petang:Sasterawan Negara,Dato’ A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas telah ditahan polis daripada datang ke Masjid Negara.
1.10 petang:Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.
1.00 petang: Dato’ Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat.
Dalam pada itu, Dr Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP,pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan,tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.
12.50 tengahari: Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.
12.45 tengahari: Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur.
12.45 tengahari:Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid.
12.30 tengahari: Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.
12.00 tengahari: Kawasan sekitar Pasar seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak ‘Water Cannon’.
11.40 pagi: Pihak polis dan FRU kelihatan telah bersedia di kawasan Istana Negara. Trak ‘Water Cannon’ hanya sebuah tetapi anggota FRU dianggar sekitar 100 orang. Dalam pada itu, helikopter kelihatan berlegar di kawasan istana.
11.20 pagi:Kawasan pusat membeli belah Sogo mula terasa bahangnya apabila bilangan anggota polis mula bertambah lebih 100 orang.
10.35 pagi: Kawasan membeli belah Kompleks Sogo pula kelihatan lebih 30 anggota polis sedang berkawal,namun suasana masih terkawal.
10.20 pagi: Tinjauan harakahdaily mendapati sebanyak 5 buah trak FRU kelihatan di Dataran Merdeka.
10.04 pagi: Kawasan di sekitar pasar Seni mula terasa bahang Himpunan apabila beberapa kelompok orang ramai di lihat berkumpul. wartawan Irwan,melaporkan kelihatan lebih 30 anggota polis di kawasan ketak kereta Pasar Seni.
9.20 pagi: Jalan menuju ke pusat bandar raya dari arah Jalan Kuching mula sesak apabila pihak polis mula mengadakan sekatan jalan raya.
9.00 pagi: Helikopter milik pasukan polis mula kelihatan dan berlegar di sekitar bandaraya. – mks.
SILA ‘REFRESH’ BERITA INI DARI SEMASA KE SEMASA UNTUK MENDAPATKAN PERKEMBANGAN TERKINI.
