Lima beradik cipta lagu sendiri
HOUSE Of Five (HO 5) yang dianggotai oleh lima beradik merupakan kumpulan penyanyi dan pemuzik pelapis dalam industri muzik tanah air yang baru sahaja ditubuhkan pada 27 Disember tahun lalu.
Menariknya, tidak sampai sebulan ditubuhkan, kumpulan yang dianggotai oleh Nor Syazmin, 20, selaku pemain piano dan penyanyi, Aizat Ikhwan, 18, (pemain biola), Azran Irsyad, 15, (gitaris), Nor Syazrin, 13, (penyanyi) dan Azriq Anwar itu sudahpun menerbitkan sebuah album single.
Syarikat Genius Ventures Sdn. Bhd. (GVSB) yang bertanggungjawab mengetengahkan HO 5 dalam industri muzik tempatan menyifatkan penubuhan kumpulan itu sebagai sesuatu yang tidak dirancang termasuklah ibu bapa mereka.
Pengurus GVSB, Zul Hashim berkata, pembabitan HO 5 dalam bidang muzik sejak dari kecil pada mulanya hanyalah sebagai hobi sehinggalah bakat mereka yang semakin berkembang itu disedari oleh ibu lima beradik terbabit.
“Ibu bapa kepada adik beradik ini mendidik mereka sejak kecil iaitu pada usia 4 tahun lagi.
“Mereka dihantar untuk belajar bermain alat-alat muzik tersebut di sekolah muzik Yamaha berdekatan dengan rumah mereka di Seremban.
“Selama beberapa tahun, mereka hanya bermain muzik di rumah dan mencipta beberapa lagu dan lirik serta melodi hanya untuk hobi seharian.
“Tiada siapa menyangka secara kebetulan semasa adik beradik ini seperti biasa bermain muzik ciptaan mereka, ibu mereka (Liza) terdetik untuk melangkah jauh membawa bakat adik beradik ini ke tengah.
“Justeru itu, beliau terus mencari kenalan-kenalan lama dan telah dipertemukan dengan saudara Amy (Ukays) untuk datang ke rumah mereka di Seremban dan menilai bakat mereka pada 24 Disember lalu,” katanya kepada Hits.
Bukan setakat baru sebulan ditubuhkan, HO 5 juga sudah diberi peluang merakamkan album single dan mereka juga menunjukkan bakat dengan mencipta lagu dan menggubah sendiri lagu-lagu tersebut.
Menurut Zul, dua lagu ciptaan mereka yang berjudul Rahsia dan Kenapa itu bukan sahaja menarik minat syarikat tersebut tetapi ia turut mendapat pujian pemuzik berpengalaman seperti Amy daripada kumpulan Ukays.
Setelah diperdengarkan kepada Amy, tanpa ragu-ragu komposer itu yakin dan terus memberi pendapat bahawa bakat tersebut perlu diketengahkan dengan segera.
“Oleh yang demikian, beberapa hari kemudian, kami (GVSB) dan keluarga terus dijemput membuat rakaman yang pada asalnya di Studio berdekatan Cheras Leasure Mall, Kuala Lumpur,” katanya.
Syazmin yang juga anak sulung dalam kumpulan itu merupakan penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom yang pulang bercuti Disember lalu semata-mata menjayakan rakaman dua lagu tersebut.
Urusan penerbitan album sulung adik beradik ini berjalan lancar biarpun terpaksa bertukar dari sebuah studio rakaman ke studio rakaman lain.
Akhirnya proses rakaman album berjalan lancar dan semuanya siap hampir dua minggu.
Usaha gigih tersebut jelas Zul merupakan hasil daripada minat mendalam, bakat tersembunyi dan ilmu pengetahuan adik beradik ini dalam bidang muzik.
Sehubungan itu, Zul berharap kemunculan HO 5 akan menambahkan lagi bilangan penyanyi serta pemuzik pelapis dalam industri muzik tempatan pada masa akan datang.
“Artis-artis baru yang berjaya ketika ini telah menonjolkan identiti serta penampilan berbeza seperti Yuna, Hujan, Faizal Tahir dan lain-lain telah memberi satu lubuk atau peluang baru dalam industri muzik di negara ini.
“Dengan demikian, kami yakin dengan adanya kumpulan adik beradik ini, ia dapat mengisi kekosongan bakat begini ke dalam pasaran baru dan mempunyai sasaran pasaran yang luas di atas keunikan tersebut.
“Daripada segi kedudukan mereka yang masih muda dan masih bersekolah, tetapi ini merupakan cabaran yang hebat bagi kami untuk membentuk corak dan justeru kejayaan mereka yang seiring dalam bidang muzik dan pelajaran,” katanya lagi.


