
Ika AF6 Dicium Pengkid
MEMANG memeranjatkan apabila Zubir menerima kiriman e-mel beberapa keping gambar bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Ika yang dilihat mesra bersama seseorang dipercayai pengkid termasuklah foto aksi manjanya di dalam dakapan dan kucupan pengkid berkenaan, baru-baru ini!
Pun begitu, sebelum Zubir bercerita lebih lanjut mengenai hubungan Ika dan pengkid berkenaan, Zubir ingin berkongsi pengalaman memualkan ketika menghadiri jemputan ke Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu. Zubir mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kanan TV3 apabila melayangkan dua jemputan VIP, namun sesuatu yang menjengkelkan berlaku di hamparan merah menuju ke pintu masuk utama stadium.
Tiba di situ, Zubir dipelawa seorang kakitangan TV3 masuk ke stadium, namun seorang kakitangannya yang lain dari jabatan kumpulan pengurusan, jenama (BMG), sempat bertanyakan soalan ini kepada Zubir: “Where is your media tag?” Terpinga-pinga dibuatnya, walhal dua kad jemputan ada bersama Zubir ketika itu! Yang pasti, kakitangan BMG itu bukan bergurau kerana riak mukanya serius.
Zubir berasakan petugas BMG yang pernah bersama Zubir ke Los Angelas dan Las Vegas tahun lalu itu, nak tunjuk hebat, tapi tidak mengapalah kerana selang beberapa hari selepas itu, seorang wartawan Melodi TV3 memberitahu Zubir, kakitangan berkenaan sememangnya poyo!
Pernah berlaku insiden sebelum ini, dia menahan seorang penerbit filem dan drama popular di pintu masuk ke sebuah majlis anugerah TV3 gara-gara tidak menunjukkan kad jemputan kepadanya! Bagi Zubir, kakitangan BMG itu patut belajar kenal orang. Contohilah semua pengurusan kanan TV3, mereka mesra media dan artis!
Pun begitu, sekalung tahniah buat TV3 kerana AJL23 memang layan! Lebih-lebih lagi segmen penutup atau interlude yang menampilkan persembahan Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan M Nasir serta beberapa penyanyi cilik, first class! Tahniah juga kepada pengarah muzik AJL23, Ramli MS dan penerbit interlude, Tengku Mohd Ismail.
Cukuplah, kita kembali kepada kisah kemesraan Ika dan pengkid berkenaan. Melihat kepada aksi mesra, seperti ada sesuatu yang tak kena dalam perhubungan mereka, sekali gus mendakwa Ika kononnya menjalin hubungan terlarang atau songsang dengan pengkid berusia dalam lingkungan 30-an itu! Adakah Ika dan pengkid itu pasangan lesbian atau ‘cat dinding’?
Zubir berjaya menghubungi Ika yang ketika itu sibuk berada di lokasi penggambaran sebuah filem epik di Kepong. Ika mengakui, gambar itu memang dirinya bersama pengkid berkenaan. Dia memberitahu, pengkid itu adalah penolong pengarah drama yang pernah dibintanginya sebelum ini. “Namanya ‘teeet’! Ika menghadiri jemputan hari jadinya pada 18 Januari lalu di sebuah kelab di Heritage Row, Kuala Lumpur,” kata Ika, 20, atau nama penuhnya, Ika Nabila Abdul Rahim, berasal dari Pulau Pinang.
Kata Ika lagi, dia dan pengkid berkenaan sekadar kenalan biasa, tiada hubungan songsang yang terjalin antara mereka!
“Ika pun tak sedar dicium ‘teeet’ kerana Ika pandang kamera ketika itu. Abang Zubir, Ika ‘straight’! Hati dan perasaan Ika tetap pada seorang lelaki. Lagipun, Ika dah ada boyfriend, Mohd Irsan, 20, dia masih belajar jurusan kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia sebenarnya sepupu tiri Ika dan kami mula berkawan rapat selepas Ika keluar AF6, tahun lalu. Tolonglah Abang Zubir, jangan salah sangka,” rayu Ika berkali-kali.


