KUALA LUMPUR 4 Jan. – NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd. menyasarkan untuk menguasai 25 peratus daripada pasaran telefoni perniagaan di Malaysia daripada 15 peratus ini, selepas dipacu oleh pelayan komunikasinya yang baru.
Pelayan yang baru itu – Univerge SV8100 dan SV8300 – akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengubah suai keperluan komunikasi mengikut peranan pengguna berbanding dengan membiarkan teknologi menentukan pengguna berkomunikasi.
“Kami menyasarkan untuk menjual sekitar 500 hingga 600 unit pelayan komunikasi pada tahun ini apabila permintaan mendapatkan Protokol Internet (IP) kian meningkat dan kami perlu bergerak seiringan dengan permintaan pasaran,” kata Pengarah Urusannya, Daisaku Takeuchi baru-baru ini.
Walaupun baru dilancar pada bulan lepas, NEC Corporation of Malaysia telah menerima tempahan antara 10 dan 20 unit.
Takeuchi berkata, pelayan komunikasi itu akan menyediakan pelan rancangan dan perlindungan pelaburan bagi para pelanggan NEC semasa sambil menawarkan satu platform yang selamat dan kukuh bagi para pelanggan baru untuk mula menyatukan komunikasi perniagaan masing-masing.
NEC Corporation of Malaysia dibentuk melalui integrasi NEC Malaysia Sdn. Bhd. dan NEC Systems Integration Sdn. Bhd., yang mana kedua-duanya merupakan anak syarikat NEC Corporation yang berpangkalan di Jepun.
Matlamat utama integrasi itu ialah untuk menyediakan para pelanggan dengan satu rujukan dan hubungan tunggal. Syarikat itu menyediakan pelbagai produk teknologi maklumat, jaringan dan telekomunikasi dan paparan teknologi.
Mengenai jualan NEC Corporation of Malaysia bagi 2009, Takeuchi berkata, syarikat itu menyasarkan untuk mencatatkan RM150 juta berbanding RM100 juta pada tahun ini walau pun berhadapan persekitaran ekonomi mencabar.
“Persekitaran perniagaan menjadi semakin buruk tetapi kami perlu melakukan usaha untuk mengembangkan perniagaan kami. Kami akan turut melakukan aktiviti pemasaran bersama-sama untuk meningkatkan jualan industri PKS,” katanya.
Katanya, NEC Corporation of Malaysia telah merancang banyak pameran bergerak dan seminar dengan rakan perniagaan yang dilaksanakan pada tahun ini.


