LONDON – Manchester United berpeluang merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana England.
Ketika kelab pencabar lain mengharungi kempen Piala FA, juara bertahan itu pula akan turun berdepan Hull City di Old Trafford hari ini.
Kejayaan ke atas United yang tersingkir daripada kempen Piala FA kepada Leeds United tiga minggu lalu, turut menamatkan era kebangkitan pendahulu baru, Arsenal selepas mereka mengatasi Chelsea di tangga kedua dengan kemenangan 4-2 ke atas Bolton Wanderers kelmarin.
Arsenal kini mendahului dengan 48 mata selepas mengharungi 22 perlawanan, mengatasi Chelsea (48) dengan kelebihan jaringan.
United pula di tangga ketiga dengan 47 mata daripada 22 perlawanan.
Pengurus United, Alex Ferguson menerima suntikan baru apabila pertahanan kental, Rio Ferdinand dijangka diturunkan pada aksi menentang Hull itu.
Kali terakhir pemain tersebut beraksi buat United ialah ketika kekalahan kepada Liverpool, Oktober tahun lalu dan sejak itu dia bergelut mengatasi kecederaan belakangnya.
“Rio telah menjalani latihan dengan baik sejak beberapa minggu lalu,” kata Ferguson semalam.
“Dia akan bermain esok (malam ini). Inilah masanya untuk menurunkannya semula. Kami telah menilai situasinya ketika latihan dan berpuas hati dengan usahanya.
“Ia akan menjadi suntikan semangat kerana bahagian pertahanan adalah kelemahan ketara kami pada musim ini.
“Kami sudah lama kehilangan khidmat Ferdinand, Nemanja Vidic, Edwin van der Sar, John O’Shea. Ia adalah masa yang mencabar, jadi dengan kehadiran mereka merupakan berita yang cukup gembira buat kami.” – Reuters

