PULAU PINANG 7 Jan. — Kerajaan Pulau Pinang menarik balik arahan henti kerja projek landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar selepas MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV) menjelaskan bayaran sebanyak RM4 juta semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun bayaran yang diterima itu bukan jumlah keseluruhan yang sepatutnya dibayar iaitu sebanyak RM7.4 juta, kerajaan negeri sedia menarik balik arahan henti kerja itu bagi membolehkan projek berkenaan berjalan lancar.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau MMC-Gamuda JV akan membayar baki bayaran berkenaan sebelum Tahun Baru Cina ini.

Katanya jumlah keseluruhan itu adalah caj yang dikenakan kepada MMC-Gamuda JV berhubung caruman perparitan, bayaran denda, bayaran kerja tanah dan bayaran pelan rancang.

Mulai 26 Dis lepas, MMC-Gamuda JV diarah memberhentikan sementara projek pembinaan landasan kereta api berkembar sepanjangan 63 kilometer yang melintasi Pulau Pinang kerana syarikat itu gagal mengemukakan pelan reka bentuk projek.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan kereta api berkembar sepanjang 329 kilometer yang dijangka siap pada awal 2013, membabitkan kos sebanyak RM12.5 bilion. – Bernama

pixel P.Pinang tarik balik arahan henti kerja MMC Gamuda JV

share save 171 16 P.Pinang tarik balik arahan henti kerja MMC Gamuda JV