
MESKIPUN Rali Dakar mengutamakan tahap keselamatan yang tinggi tetapi keberkesanannya masih dipersoalkan.
CABARAN Rali Dakar atau sebelum ini dikenali sebagai Rali Paris-Dakar diakui memiliki reputasi hebat sebagai perlumbaan paling mencabar dalam kalendar sukan pemotoran antarabangsa.
Cabaran yang diadakan pada awal bulan Januari setiap tahun itu berjaya mencetuskan fenomena baru dalam sukan pemotoran yang menampilkan persaingan dalam pelbagai kategori.

PETUGAS Rali Dakar menyelamatkan salah seorang pelumba yang terlibat dalam kemalangan ngeri pada saingan tahun lalu.
Tahun ini sahaja, Rali Dakar yang bermula 3 Januari lalu sehingga 18 Januari ini menyaksikan penyertaan daripada 500 pasukan membabitkan 177 kereta, 217 motosikal, 81 trak dan 25 motosikal empat tayar.
Keistimewaan Rali Dakar edisi ke-30 ini ialah lokasi perlumbaannya yang diubah dari lokasi tradisi di benua Afrika ke negara Amerika Selatan iaitu Argentina dan Chile.
Alasan penganjur untuk mengubah lokasi kali ini ialah faktor ancaman pengganas iaitu faktor sama yang menyaksikan edisi 2008 tahun lalu terpaksa dibatalkan.
Secara keseluruhannya, perlumbaan edisi 2009 ini menyaksikan sebanyak 14 peringkat dipertandingkan dengan jarak keseluruhan sejauh 9,574km.
Minggu lalu, penganjur perlumbaan, Etienne Lavigne menyuarakan keyakinannya bahawa Rali Dakar tahun ini akan menjadi lebih menarik dengan perubahan lokasinya.

Peserta
“Biarpun lokasinya berubah, namun nama Rali Dakar tetap dikekalkan,” jelasnya.
Persoalannya kini, sejauh manakah kematangan Rali Dakar mampu mengubah persepsinya sebagai gelanggang maut.
Untuk rekod sehingga tahun 2007, Rali Dakar telah meragut 45 mangsa membabitkan peserta dan orang awam.
Pada Rabu lalu, angka tersebut meningkat kepada 46 orang apabila penunggang motosikal Perancis, Pascal Terry ditemui mati selepas dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.
Mayat penunggang berusia 49 tahun itu ditemui 100 meter dari kawasan perlumbaan dan 190 kilometer ke selatan dari tempat pelepasan di Santa Rosa, Ahad lalu.
Tragedi terbaru itu seperti mengulangi episod ngeri yang berlaku setiap tahun, sekali gus menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak mengenai tahap keselamatan perlumbaan berprestij itu.
Bagi edisi 2007, dua penunggang motosikal menerima nasib sama termasuk penunggang dari Afrika Selatan, Elmer Symons yang terlibat dalam satu kemalangan di kilometer 142, sebelum ditemui mati oleh petugas keselamatan.
Setahun sebelum itu, penunggang Australia berusia 41 tahun, Andy Caldecott turut menjadi mangsa apabila mengalami kecederaan serius di bahagian leher selepas terlibat dalam kemalangan dari Nouakchott ke Kiffa di Mauritania.
Dua kanak-kanak tempatan juga terkorban di Guinea dan Senegal selepas trak yang menyertai perlumbaan merempuh kediaman mereka.
Pada tahun 2001 dan 2002, bekas juara dari Itali, Fabrizio Meoni dan penunggang motosikal dari Sepanyol, Juan Manuel Perez yang mewakili pasukan KTM terkorban, juga selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri.
Sebenarnya, tahap keselamatan yang rendah pada cabaran Rali Dakar ini mula dikesan pada tahun 1982 iaitu tiga tahun selepas ia diperkenalkan.
Ketika itu, Mark Thatcher, anak kepada bekas Perdana Menteri Britian, Margaret Thatcher dan pembantunya, Charlotte Verney serta seorang mekanik didapati sesat selama enam hari di Gurun Sahara sebelum ditemui dalam keadaan selamat.
Pada perlumbaan tahun 1991, seorang pemandu trak terbunuh selepas ditembak oleh askar Mali ketika melalui kawasan kampung.
Sementara edisi perlumbaan tahun 1986 menyaksikan penganjur rali, Thierry Sabine terbunuh apabila helikopter yang dinaiki bagi memantau perlumbaan berlanggar di udara sebelum terbakar.
