KUALA LUMPUR 4 Jan. – Pengeluar daging proses tempatan dan antarabangsa, Prima Agri Products Sdn. Bhd. (Prima) menyasarkan kilang bersepadu dan bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia, Prima Halal Food Park (PHFP) bernilai lebih RM204 juta, bakal beroperasi sepenuhnya akhir 2010.
PHFP atau Taman Makanan Halal Prima seluas 40 hektar, terletak di Gambang, berhampiran Kuantan, Pahang merupakan sebahagian daripada projek koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jamaluddin A. Kadir (gambar) berkata, kilang yang dibina mulai 30 Oktober tahun lalu merupakan peluasan daripada kilang tunggalnya di Seksyen 10, Bangi dekat sini.
Jamaluddin berkata, selepas siap kelak, pihaknya menyasarkan pengeluaran daging proses sebanyak 230 tan metrik sehari dengan nilai RM36,000 berbanding 25 tan metrik sekarang.
Katanya, kilang di Seksyen 10, Bangi yang beroperasi sejak 1999 tidak dapat menampung permintaan pasaran eksport yang semakin meningkat.
”Kami mahu menembusi lebih banyak negara dengan produk yang disahkan halal dan berkualiti dari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
PHFP mempunyai sejumlah 82 lot kilang yang mempelawa pengusaha kecil dan sederhana menceburi bidang perusahaan daging proses.
Daripada 82 lot kilang itu, tujuh daripadanya merupakan kilang bertaraf antarabangsa.
Sehingga kini, kata Jamaluddin, seramai 200 pengusaha IKS direkodkan berminat untuk menyertai program perniagaan di PHFP, namun pihaknya terpaksa memilih 68 pengusaha terbaik sahaja.
Jamaluddin berkata, selepas projek pembinaan itu siap, pihaknya mengunjurkan peratusan eksportnya sebanyak 60 peratus manakala tempatan sebanyak 40 peratus.
Katanya, pihaknya merancang untuk memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara selepas berjaya menawan pasaran Asia Barat tahun lalu.
”Industri makanan halal mempunyai potensi besar dan produk halal keluaran Malaysia mendapat pengiktirafan yang meluas dari kalangan negara-negara Barat,” ujarnya.
Menurut Jamaluddin, di Asia Tenggara, pihaknya ingin mencuba pasaran Indonesia pada tahun depan.
Katanya, daging lembu import yang diproses mendapat permintaan tinggi di negara itu terutamanya bagi pengendali restoran makanan segera francais.
“Kami mahu menjadi pembekal daging proses yang tetap dan terkenal di seluruh dunia selain dijamin status halalnya,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada permintaan terhadap daging akan berkurangan pada tahun depan berikutan pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan, beliau berkata, perniagaannya bagaimanapun dijangka stabil.
Beliau berkata, sektor makanan dijangka kekal stabil pada tahun hadapan kerana ia merupakan sebahagian keperluan asas manusia.
Katanya, selagi rakyat di seluruh dunia memerlukan makanan, sektor itu dijangka terus meningkat dan tidak terjejas walaupun berlaku kelembapan ekonomi.
