[Terkini]Keputusan Pertandingan Akhir My Starz LG3:
1.Tom
2.Apiz
3.Sarah
Apiz ingin naikkan nama kampungnya
Impian jejaka yang ceria dan gemar bergurau ini sungguh unik. Tujuannya menyertai My Starz LG 3 adalah untuk mengharumkan nama kampungnya, Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor.
“Kampung saya jarang disebut-sebut, mungkinkerana ramai orang tua yang tinggal di sana. Saya berasa bertanggungjawab untuk mengharumkan nama kampung saya.
“Selain itu, niat saya menceburi bidang nyanyian ini bagi membantu keluarga saya terutama ibu bapa saya meningkatkan taraf hidup kami,” ujar anak kelapan daripada sembilan beradik ini.
Tambah Apiz, persekitarannya yang terdiri daripada orang lama membuatkan dia turut mengagumi artis-artis lama seperti Jamal Abdillah, Saleem dan Fransisca Peter.
Apiz yang turut menggemari muzik keroncong mengimpikan suatu hari nanti dia berjaya seperti idola-idolanya. Apiz mahu lagunya menjadi siulan dari generasi ke generasi dan terus diingati.
Tom ingin dikenali
Melihat sekecil molek ini, pasti ada yang perasan yang Tom pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi beberapa pingat termasuk pingat emas pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles bersama-sama Siti Sarah dan Bob pada tahun lepas.
Seakan belum puas dengan pencapaiannya, My Starz LG 3 dijadikan Tom sebagai platform untuk terus dikenali oleh rakyat Malaysia.
“Memang sebelum ini saya sering memasuki pelbagai pertandingan nyanyian tetapi saya faham dalam industri kita, susah untuk dikenali, lebih susah untuk bertahan.
“Saya harap dengan penyertaan saya dalam My Starz LG 3 ini, orang ramai dapat mengenali dan menerima saya yang hadir dengan konsep rock,” ujar Tom yang sering menjadi pilihan juri hampir setiap minggu.
Tambah Tom, My Starz LG 3 dijadikansebagai medan terbaik untuknya menimba ilmu dari tenaga pengajar yang berpengalaman seperti Damian Mikhail dan Sazlan Mat Adnan.
Tidak memandang lekeh kepada peserta lain, ujar Tom, dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik setiap minggu hingga ke pentas final nanti kerana menggeruni rakan-rakan lain yang mempunyai kekuatan dan peminat masing-masing.
Sarah cantik menari
Melihat si manis ini di konsert My Starz LG 3 setiap minggu, pasti ramai yang perasan dia sering diberikan lagu yang berirama rancak dan memerlukan dia cergas menari.
Malah, Graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang Diploma Vokal Pop ini nampak sungguh molek beraksi sedemikian seperti dia sudah biasa aktif sebegitu.
“Apabila memasuki pertandingan ini barulah saya tahu kekuatan saya ialah dalam persembahan iaitu menyanyi sambil menari.
“Minggu ini juga saya akan membawa lagu yang rancak, Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan. Saya harap penonton akan tertarik dengan persembahan saya dan terus menyokong saya,” ujar Sarah yang gemar mengikuti perkembangan fesyen terkini.
Mengakui dunia nyanyian mempunyai persaingan yang tinggi akibat lambakan artis yang lahir dari program realiti televisyen, Sarah turut meluaskan pilihannya untuk mencuba dalam bidang lakonan suatu hari nanti jika diberi peluang.


